Tidak hairanlah jika ramai peminat menzahirkan rasa bengang apabila lagu hit, Berakhirlah Pencarianku akan dinyanyikan oleh pasangan artis baharu, bukannya penyanyi asal di Semifinal Muzik Muzik ke-37 (SFMM-37) nanti.
Hal itu telah menyebabkan komposer lagu berkenaan, Ikhwan Fatanna menjadi mangsa lepas geram para peminat yang kecewa dengan keputusan itu.
“Kenapa saya yang kena marah? Saya pun sedih tapi saya usaha untuk berdamai dengan keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Terdahulu sewaktu majlis pengumuman 30 lagu yang layak ke tahap SFMM-37 pada Jumaat lalu, pelantun asalnya iaitu Ernie Zakri mengesahkan dirinya dan Hafiz Suip tidak dapat menyanyikan lagu duet tersebut.
Justeru, karya ciptaan Ikhwan bersama Wan Saleh, manakala lirik oleh Datuk A Aida itu bakal dinyanyikan oleh pendatang baharu iaitu Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq.
Dalam pada itu, Ikhwan selaku seorang penyanyi juga menjelaskan, hal yang terjadi berada di luar bidang kuasanya sebagai pencipta lagu.
“Situasi ini bukan saya yang mengawalnya. Saya dah galas dan jalankan tanggungjawab mencipta lagu untuk anda semua. Sampai hati marah dan salahkan saya?
“Kita kerja belakang tabir saja, bukan penting pun,” luah penyanyi lagu Bismillah itu yang berasa ralat diperlakukan sebegitu.
Pun begitu, Ikhwan tetap berterima kasih kepada para peminat yang telah mengundi lagu tersebut sehingga layak mara ke SFMM-37.
Dia juga meletak harapan agar lagu berkenaan mampu dinyanyikan dengan baik oleh Wani dan Syafiq pada malam pertandingan itu kelak.
“Saya reda, kena menjaga hati semua orang yang terlibat. Peminat yang undi lagu ini, syarikat rakaman yang promosikan lagu ini dan menawarkan saya peluang kerja.
“Hafiz dan Ernie yang merupakan sahabat saya, Wani serta Syafiq pun kawan-kawan saya. Jadi, jagalah juga hati saya.
“Impian saya sendiri pastinya ingin melihat Hafiz dan Ernie kerana mereka berdualah yang mengangkat lagu ni ke tahap yang dicapai hari ini,” ulasnya menerusi hantaran di media sosial. – BOOM!