Bekas personaliti TV3, Zakiah Anas sebelum ini dia pernah cuba untuk menghubungi rakan seperjuangannya, Zalina Azman namun tidak berjaya.
Beranggapan mungkin sahabatnya itu ingin menjalani kehidupan secara sederhana, Zakiah dan rakan-rakan yang lain menghormati pendirian tersebut.
“Kami ingatkan Zalina mahu menjalani kehidupan low profile, jadi kami hormati pendiriannya. Namun kami terkejut apabila anaknya membuat laporan polis.
“Kali terakhir saya jumpa ketika Zalina membuat majlis doa selamat sebelum ke Mekah. Kalau tak salah dalam 2013. Lepas balik haji, kami terus tidak berhubungan.
“Sudah lama kami tidak berjumpa. Kami putus hubungan sejak dia berhenti TV3. Dia pun mungkin sibuk dengan keluarganya, jadi kami tak nak kacau dan faham kehidupan masing-masing,” katanya.
Berita tentang kehilangan bekas hos Money Matters itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada Isnin.
Pihak polis menerima laporan daripada keluarga Zalina berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.
Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman, 58, mula berkhidmat di TV3 pada 1990.
Namanya cukup dikenali menerusi program Money Matters selain sepanjang kerjayanya, Zalina juga pernah menemubual ramai tokoh terkemuka termasuk Presiden Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela. – BOOM!
Sumber: Berita Harian