Pagi tadi, penyanyi ternama negara, Datuk M Nasir disahkan menghidap Covid-19 oleh isterinya, Datin Marlia Musa.
Marlia menerusi pesanan teks yang dihantar kepada petugas media mengatakan, mereka berdua kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Semalam dia buat rapid test kit memandangkan ada program yang perlu dihadiri pada tengah hari.
“Terkejut kami apabila mendapat tahu keputusannya positif. Kemudian kami terus ke klinik untuk buat ujian calitan PCR dan hasilnya tetap sama.
“Pun begitu, Datuk berada dalam keadaan stabil dan baik-baik saja. Tiada simptom yang serius,” beritahunya.
Pada masa sama, Marlia, 53, memohon orang ramai mendoakan kesembuhan segera penyanyi Mentera Semerah Padi itu.
Jumaat lepas, M Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 64, baru sahaja tampil memeriahkan acara tahunan Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) bagi segmen pembukaan. – BOOM!