Pelantun lagu Satu Peluang, Andi Bernadee memohon warganet agar tidak membuat sebarang andaian dengan menuduh rakan-rakan artisnya berhubung kes penyelewengan yang dilaporkan penyanyi itu semalam.
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 30, memaklumkan, dia terkejut mendengar ada pihak cuba mengaitkan nama tertentu.
“Saya mohon supaya ‘Jabatan Netizen’ hentikan aktiviti memfitnah ini.
“Lagipun, saya dah serahkan kes ini kepada pihak polis dan peguam untuk membawanya ke muka pengadilan,” tulisnya.
Pada masa sama, Andi turut meminta jasa baik semua agar mendoakan segalanya berjalan lancar.
“Doakan juga kebenaran dapat ditegakkan, sekali gus mengembalikan semula hak saya setelah berhempas pulas mencari rezeki,” tambahnya.
Semalam, Andi membuat repot di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur setelah mendakwa dia ditipu seorang individu yang menyonglap wang berjumlah RM70,000.
Jelas Andi, individu terbabit yang juga kenalan rapat dipercayai menyalahgunakan namanya untuk berinteraksi dengan klien tentang urusan kerja melibatkan transaksi bayaran.