Pelakon dan penerbit filem, Darling Ngasri, 38, tidak menafikan industri perfileman dan drama tempatan masih ketandusan penulis skrip yang bagus dan berbakat.
Katanya, keadaan itu jelas apabila khidmat penulis skrip yang sama berulang kali digunakan dalam kebanyakan filem dan drama tempatan.
“Kita memerlukan lebih ramai penulis skrip berbakat kerana mereka boleh menyelamatkan filem budget rendah dengan penghasilan skrip yang bagus dan di luar kotak.
“Apa yang menyedihkan adalah kita kekurangan (penulis skrip) dan usaha melahirkan golongan ini masih perlahan.
“Sebab itu saya menyambut baik saranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mahukan lebih ramai penulis skrip yang bagus dilahirkan,” katanya yang ditemui sempena Pelancaran Kempen PERKESO Membawa Senyuman baru-baru ini.
Kata Darling, penggiat industri perfileman dan drama tempatan wajar mencontohi usaha pihak pengendali media Internet (OTT) yang melaksanakan kaedah writers’ room untuk filem dan drama yang mereka hasilkan.
“Kita perlukan pembaharuan dalam dunia penghasilan skrip drama dan filem. Saya tertarik dengan kaedah writers’ room yang diambil pihak OTT untuk mendapatkan skrip berkualiti.
“Tak salah untuk kita laksana kaedah yang sama kerana skrip yang bagus akan menyelematkan filem dan drama meskipun kualiti gambar tidak memuaskan,” kongsinya lagi. – JURNAL
Sumber: UTUSAN MALAYSIA