Impian personaliti TV yang juga pengasas dan pengarah kreatif Neonate Clothing Company, Karl Shafek untuk membuat pertunjukan fesyen secara eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menjadi kenyataan.
Karl berkata, pertunjukan fesyen yang julung kali diadakan di SIC itu turut berkolaborasi dengan jenama fesyen streetwear terkemuka, SVG melalui cetusan idea dan perancangan dua jenama hebat itu.
“Apa yang anda saksikan adalah hasil idea dan ‘kerja gila’ dari dua jenama ini. Saya boleh katakan ini adalah acara pertunjukan fesyen terbesar yang diilhamkan sepenuhnya oleh saya dan pasukan.
“Ia juga pertunjukan fesyen pertama di atas trek lumba yang mana tetamu yang hadir malam ini seperti sedang menonton acara lumba kereta Formula 1 atau MotorGP. Jadi macam-macam gaya fesyen mereka saksikan tadi seperti pelumba, mekanik, penonton, ‘umbrella girl’ dan banyak lagi.
“Pertunjukan fesyen ini juga boleh dikatakan antara ‘runway’ terpanjang yang mana jaraknya hampir 800 meter. Walaupun tiada pentas disediakan tapi setiap model perlu berjalan di atas trek lumba,” katanya.
Menurut Karl, dia berharap pertunjukan fesyen Neonate X SVG dapat menjadi penanda aras kepada jenama fesyen lokal terutama pereka muda untuk menghasilkan idea yang luar biasa.
“Saya memang nak jenama Neonate ini menjadi penanda aras kepada industri fesyen yang mana kita nak pereka tempatan di luar sana dan anak seni untuk tampil ke depan dan ekspresikan kerja seni mereka.
“Jangan risau fasal sokongan atau bajet kerana percayalah akan ada pihak yang nak membantu anda. Banyak badan-badan korporat dan syarikat swasta yang memerlukan promosi dan platform untuk memperkenalkan jenama mereka.
“Selain itu saya juga berimpian agar acara ini dapat menjadi satu acara tahunan seperti Streetwear Fashion Week.
“Kalau boleh saya nak orang luar tahu yang negara kita ada banyak jenama yang mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk melakukan acara fesyen secara solo seperti yang dilakukan oleh jenama terkenal antarabangsa,” katanya.
Bertemakan ‘Race Day’, pertunjukan Neonate X SVG itu diadakan sehari sebelum jadual rasmi Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) mula mengambil tempat pada 21 Ogos 2023.
Lebih 80 koleksi ‘Race Day’ diperagakan dengan pembabitan 80 model pilihan Neonate dan SVG. Separuh model yang membuat kemunculan di atas trek lumba dipilih menerusi uji bakat yang dijalankan pada Jun lalu.
Seramai 10 Muse diperkenalkan pada acara ini seperti MK-Klique, Saixse, Haneesya Hanee, Qistina Raisah, Qawiy (TikTok) dan ramai lagi.
Acara yang bermula jam 7 malam tadi itu dihadiri lebih 3500 tetamu dengan kehadiran rakan penaja, selebriti dan peminat fesyen streetwear. – BOOM!