Selepas lama tidak mendengar khabar penyanyi Ameer Forteen, rupanya dalam diam dia kini ligat mengembangkan empayar perniagaan produk susu kambing sehingga ke Indonesia.
Menurut Ameer atau nama sebenarnya, Mohd Arif Ameerais Azhar, peluang perniagaan menerusi produk Susu Irfan bermula apabila dia mencari susu yang serasi buat anak sulungnya, Noah Eusoff, 2.
“Waktu itu, anak sulung saya baru bercerai susu badan dengan ibunya, jadi saya mencari susu yang sesuai sebagai ganti.
“Namun, susu yang berada di pasaran semuanya tidak sesuai sehinggalah saya mencuba susu kambing dan bertemu dengan Susu Irfan.
“Alhamdulillah, anak saya begitu serasi. Percaya dengan khasiat dan juga kebaikan produk ini, saya kini menjadi salah seorang rakan kongsi dan pengasas bersama Susu Irfan,” kata Ameer.
Lebih menarik, produk Susu Kambing Irfan yang telah pun memasuki pasaran Indonesia juga turut serta dalam pameran Indonesia Food Exhibition yang berlangsung di Surabaya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Ameer juga telah membuka syarikat di Indonesia selaku pengimport pelbagai produk dan memiliki lima buah gudang termasuk di Medan, Jakarta, Jogjakarta, Surabaya dan Makasar.
“Alhamdulillah, penerimaan masyarakat di sana terhadap produk Susu Irfan cukup baik dan saya amat mengalu-alukan usahawan Malaysia untuk menembusi pasaran di Indonesia,” ujar Ameer.
Dalam perkembangan lain, kerjaya seni Ameer bersama kumpulan Forteen masih berjalan seperti biasa.
Mengikut perancangan mereka akan muncul dengan sebuah single baharu selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Selepas kerja-kerja di Indonesia selesai, kami akan berbincang untuk memilih syarikat pengurusan yang tepat kerana kemunculan kami kali ini tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Sebaliknya, kami mahu single baharu nanti memberi impak bukan sahaja kepada peminat, tetapi juga kerjaya seni Forteen,” tutur Ameer yang juga merancang untuk projek solonya. – BOOM!