Pemilik syarikat produksi A Aida Production iaitu Datuk A Aida berpendapat bahawa jumlah pengikut (follower) media sosial tidak semestinya menjamin kejayaan sesebuah naskhah.
Menceritakan pengalamannya semasa siaran langsung IG Live bersama penggiat seni baru-baru ini, Aida atau Zaidah Awang, 51, seorang kenalannya, juga produser pernah mengambil beberapa pelakon yang berpengaruh.
“Saya ada kawan yang pernah menawarkan peluang kepada beberapa pelakon berpengaruh untuk membintangi filem terbitannya.
“Pelaburannya besar sebab membariskan pelakon popular, tetapi pulangannya amat menyedihkan, tak sampai RM100,000 pun.
“Kesimpulannya, follower berjuta, filem gagal pun tak guna juga. Betul tak?
“Bagi saya, pendirian mengatakan jumlah follower yang ramai mampu melariskan sebarang karya walaupun kualiti tidak mencapai tahap terbaik adalah kepercayaan karut,” katanya.
Sesi IG Live menerusi akaun Instagram @wartawanhiburan berkenaan dianjurkan secara usahasama di antara Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan topik, How To Make A Drama Go Viral.
Siaran itu dibuat bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung 10 Disember ini. – BOOM!