Berlakon watak hantu pastinya memberikan cabaran besar pada pelakon untuk menjiwai karakter tersebut dengan baik.
Bagi pendukung watak utama filem terbaharu, Tan-Ti-Ana iaitu Atikah Suhaime menyifatkan lakonannya sebagai hantu dalam filem ini begitu mengujakan dirinya.
“Inilah masanya saya berasa sangat teruja dengan filem lakonan sendiri. Sebenarnya ini pertama kali Atikah menjadi hantu, selalu berlakon cerita hantu tapi tak pernah jadi hantu,” katanya ditemui selepas tayangan perdana filem Tan-Ti-Ana di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurutnya, dia juga pernah berasakan filem ini tidak akan ditayangkan memandangkan penggambaran sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
“Ini bukan filem pertama yang Atikah ‘shot’ dan tak tayang tapi bagi saya, alhamdulillah rezeki akhirnya dapat ditayangkan dan nasib baik ia ditayangkan, jika tidak rugi sebab filem ini memang ‘best’,” katanya.
Bercerita pengalaman di lokasi penggambaran, Atikah mengakui dia juga melalui pengalaman menyeramkan ketika penggambaran filem Tan-Ti-Ana.
Jelasnya, dia yang membawa watak sebagai Tan-Ti-Ana melalui dua peristiwa yang tidak boleh dilupakan membabitkan dirinya bersama-sama pelakon lain dan kru produksi.
“Ada soundman nampak Atikah kat situ, di salah satu bilik. Dia tengok macam tengah inspirasi, selepas itu apabila dia pandang Atikah semula, dia terkejut.
“Eh, Atikah kat sini? Ya, saya kat sini. Dia kata bukan ke tadi Atikah kat dalam bilik ke? Bila panggil nama Atikah tapi tak jawab, Atikah senyap je. Selepas peristiwa itu, Atikah menjadi seorang yang sangat penakut,” katanya.
Sambungnya, pengalaman misteri itu bukan hanya berlaku sekali tapi giliran Atikah pula melalui pengalaman menyeramkan.
“Cerita kedua pula ketika nak balik, ada dua jalan. Semua dah pesan pada Atikah, ambil laluan sehala. Atikah kata tak nak lalu jalan ini kerana bahaya.
“Pilih jalan lain, Atikah tengok okay je. Elok saja, jalan pun cantik dan besar serta tak gelap langsung. Selepas itu, suatu hari saya dan Amai habis penggambaran, kami balik sama-sama.
“Keesokkan harinya Amai bagitau jalan tersebut teruk, tiada lampu. Dia naik motosikal dan hanya berharap lampu kereta Atikah saja. Selepas itu dia kata kat tepi jalan nampak kubur lama,” katanya.
Akuinya, peristiwa kedua itu membuatkan pandangannya dikaburkan apabila dia melihat jalan raya tersebut kelihatan cantik dan sempurna.
“Selepas kejadian tersebut, Atikah tunggu semua habis penggambaran, baru balik sama-sama.
“Atikah harap sangat kepada semua peminat filem genre seram, filem Tan-Ti-Ana lain daripada yang lain, hantu dia special,” katanya.
Filem Tan-Ti-Ana yang merupakan terbitan Dream At Work Sdn Bhd dan NHF Productions juga menampilkan barisan pelakon berpengalaman dan popular antaranya Jay Iswazir, Joey Daud, Zalif Sidek, Baby Shima, Amai Kamarudin, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff. Tidak ketinggalan penampilan istimewa, Datuk Suhaimi (Amy Search) dan Datuk Rahim Razali.
Idea asal dan lakon layar filem ini oleh Datuk Muhammad Razlan Ismail merangkap produser filem ini.
Filem Tan-Ti-Ana yang diarahkan Rosdi Md Dali ini akan menemui penonton pada 29 Februari 2024.- BOOM!