Ramai peminat filem genre seram teruja menantikan filem terbaharu, berjudul Tan-Ti-Ana yang akan menemui peminat di pawagam tidak lama lagi.
Namun, di sebalik pembikinan filem tersebut, ia mengundang kerinduan peminat terhadap pelawak yang juga pelakon filem ini iaitu arwah Abam.
Menurut laporan media sebelum ini, produser filem Tan-Ti-Ana, Datuk Muhammad Razlan Ismail mengakui filem ini didedikasikan kepada arwah Abam untuk peminat yang merindui aksi lakonan aktor tersebut.
Apa yang menarik perhatian peminat, filem Tan-Ti-Ana merupakan filem lakonan terakhir arwah Abam.
Jelas Muhammad Razlan, Abam atau nama sebenar, Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan begitu teruja ketika membintangi filem tersebut biarpun tidak membawa watak utama.
Difahamkan, babak Abam kali ini tidak banyak tetapi ia akan menjadi kenangan buat peminat. Abam membawakan watak sebagai Belon iaitu seorang runner dalam sebuah kru produksi.
Selain Abam, filem Tan-Ti-Ana yang merupakan terbitan Dream At Work Sdn Bhd dan NHF Productions juga menampilkan barisan pelakon berpengalaman dan popular antaranya Atikah Suhaime, Jay Iswazir, Joey Daud, Zalif Sidek, Baby Shima, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff. Tidak ketinggalan penampilan istimewa, Datuk Suhaimi (Amy Search) dan Datuk Rahim Razali.
Muhammad Razlan juga terbabit dalam aspek idea asal dan lakon layar filem ini manakala Amin Shakib bersama-sama Syareel Izam Ali bertindak sebagai penulis skrip dan olahan.
Filem Tan-Ti-Ana yang diarahkan Rosdi Md Dali ini bakal menemui penonton pada 29 Februari 2024.- BOOM!