Pelakon Nur Fazura mengaku seram untuk melakonkan babak menunggang kuda dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah kerana terdedah dengan risiko kecederaan.
Fazura berkata, lebih menyeramkan jika kecederaan yang dialami akan menjejaskan peluangnya untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang.
“Setiap kali ada babak menunggang kuda saya akan selalu berdoa semoga tak jatuh sebab tak nak saluran peranakan terjejas , nanti tak dapat nak menimang cahaya mata lagi.
“Alhamdulillah saya memang pernah belajar menunggang kuda masa kecil dan kuda yang saya dapat untuk penggambaran filem ini pun sangat serasi dengan saya,” katanya.
Menurut Fazura, dia juga tampil menafikan dirinya berbadan dua susulan tindakkannya meluahkan kerisauan terbabit.
“Saya dan Fattah (Amin) mengambil langkah merancang keluarga kerana kesibukkan kami. Belum ada rezeki hamil lagi.
“Lagipun kami perlu patuh dengan kontrak yang sudah ditandatangani. Kalau boleh tak nak hamil dalam keadaan masih bekerja.
“Masa mengandung Fatimah dulu saya pernah terlantar atas katil selama tiga bulan sebab alahan. Saya tak mahulah disebabkan hamil, komitmen kerja saya terjejas,” kata Fazura ketika ditemui pada majlis tayangan filem Pendekar Awang:Darah Indera Gajah di sini, hari ini.
Menerusi filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd , Fazura memegang watak srikandi bernama Sayang.
Filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM15 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO