Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, akui terpaksa mengorbankan perancangan menyambut hari lahirnya pada 14 Julai depan kerana perlu bersama Tan Sri Annuar Musa pada sesi ceramah umum.
“Pada awalnya isteri dan anak-anak sudah merancang untuk membuat majlis hari lahir sempena hari lahir saya yang jatuh pada 14 Julai depan. Kebetulan anak ke tiga, Vie Zaalia juga berkongsi tarikh hari lahir sama.
“Malangnya, tarikh itu saya perlu bersama-sama Tan Sri Annuar Musa di sesi ceramah umum di Sik, Kedah,” kata Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) itu.
Selain Kedah, beliau turut bersama-sama Annuar untuk sesi yang sama di beberapa negeri seperti Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor sepanjang Julai ini.
Beliau akui pada awalnya anak-anak nampak sedikit kecewa terutama Vie Zaalia kerana tidak dapat meraikan hari lahir bersama ayah mereka seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Saya terharu sebab mereka sudah pun membuat beberapa perancangan dan begitu teruja berkongsi perancangan itu kepada saya.
“Tapi saya terpaksa terangkan kepada mereka mengenai tugas yang saya perlu lakukan dan syukur mereka sangat memahami.
“Bagi saya, walau pun tarikh itu juga penting tapi ingatan dan momen penting bersama-sama keluarga itu yang lebih bermakna. Insya Allah, kami akan sambut majlis itu selepas saya balik nanti,” kata bapa kepada empat cahaya mata.
Eizlan memiliki tiga anak, Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia melalui perkahwinan pertama bersama Vie Shantie dan seorang anak, Zaelynn Rosa, dua tahun, hasil perkahwinan kedua bersama Datin Seri Natasha Rosa Boudville pada 2019. – BOOM!