Pelakon sensasi, Uqasha Senrose tampil mempertahankan diri selepas didakwa netizen tidak menjaga batas sewaktu bergambar bersama pendakwah bebas terkenal, ustaz Azhar Idrus di sebuah majlis ilmu yang dihadirinya, malam tadi.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Uqasha atau nama lengkapnya Zik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, dalam Instagram miliknya, aktres itu menzahirkan rasa teruja apabila dapat menghadiri majlis agama tersebut dan bergambar bersama Azhar Idrus walaupun kurang sihat.
“Ya Allah, dapat juga berjumpa dan bergambar dengan ustaz Azhar Idrus. Memang dah lama sangat minat dengan cara dia memberi ceramah.
“Walaupun demam, saya makan ubat dan cucuk drip semata-mata untuk hadir ke ceramah beliau. Banyak ilmu yang dikongsikan. Seronok sangat,” kongsi Uqasha.
Bagaimanapun, beberapa keping foto yang dimuat naik pelakon itu dalam Instagram telah mengundang persepsi buruk dan salah faham netizen apabila dikatakan tidak menjaga batas kerana bergambar terlalu rapat dengan pendakwah tersebut.
Uqasha tampil menjelaskan keadaan sebenar dengan memaklumkan dirinya kelihatan seolah-olah rapat dengan Azhar Idrus disebabkan kedudukan kamera (angle) dan masih tahu untuk menjaga batasnya.
“Tak perlu mulut pandai-pandai cakap kalau tidak ada di tempat tu. Angle dan posisi awak nampak begitu (rapat). Saya tahu batas saya. Orang kanan kiri tolak, jadi tidak seimbang,” jelasnya.
Suaminya pelakon, Kamal Adli juga dilihat meninggalkan komen mempertahankan isterinya daripada dikecam apabila menjelaskan situasi sebenar.
“Sabar yang lain. Kalau rapat sangat, saya sendiri yang akan tegur siap-siap. Itu angle kamera sahaja. Jangan mudah nak menaip. “Kalau betul rapat, ustaz sendiri dah lari. Sudah, cukup-cukuplah,” kata Kamal.
Dalam satu hantaran berbeza, pelakon yang pernah membintangi drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu berkongsi sekeping foto dari arah berbeza yang menunjukkan masih ada ruang di antara dirinya dengan Azhar Idrus.
“Ini (gambar lain) dari posisi berbeza. Tak nak orang fitnah cakap saya rapat tidak tentu pasal. Macam-macam manusia ni,” jelas Uqasha.
Difahamkan acara yang dihadiri Uqasha malam tadi itu ialah majlis Kuliyah Khas Jihad Palestin yang diadakan di Hotel Grand Barakah,
Ampang, Kuala Lumpur. – BOOM
Sumber: KOSMO ONLINE!