Pernah mewakili Malaysia dalam rancangan realiti D’Academy Asia musim pertama pada 2015, Hazman Al-Idrus bertuah kerana bakat lakonannya cepat dihidu oleh pengarah dan penerbit di Indonesia.
Sebaik menamatkan saingannya, dia mula ditawarkan beberapa watak utama membintangi produksi drama di sana dan memaksa dirinya sering berulang-alik antara dua negara.
Namun selepas berlanjutan selama beberapa tahun, akhirnya Hazman tekad berhijrah ke seberang demi memberi fokus terhadap usahanya ingin melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.
Atas dorongan isteri, Tiaz Al-Khred yang juga pengurus kerjaya seninya, Hazman bersyukur kerana hasil kerja keras dan penat lelahnya sekian lama, impiannya tercapai jua.
Sekembalinya ke Jakarta, dia lantas diundang menjayakan Konsert Kangen Merayu oleh pihak stesen Indosiar, sekali gus menjadi titik mula jejaka berkenaan membuat ‘come-back’.
Tampil berkolaborasi bersama Raffa Affar dan Sandrina Mazaya menyampaikan lagu ‘Tiara nyanyian asal kumpulan Kris, rata-rata penonton persembahan itu menyambut baik kehadiran Hazman dengan sorakan gemuruh. – BOOM!