Pelakon baharu, Muaz Zabir, 27, menyerahkan penilaian mutu lakonannya kepada penonton sama ada mahu melabelkan dirinya sebagai ‘pelakon kayu’ atau tidak dalam drama Iskandar Chempaka.
Muaz berkata, dia sudah sedaya-upaya melakonkan karakter Iskandar yang juga hero dalam drama slot Lestary TV3 itu sebaik mungkin berikutan menjadi taruhan sulungnyan untuk watak utama.
“Drama Iskandar Chempaka ini adalah batu loncatan untuk saya dinilai oleh penonton sama ada memang boleh berlakon atau pun tidak. Tapi, saya dah buat sedaya-upaya termampu walaupun mungkin ada (penonton) yang masih nampak saya berlakon kayu.
“Saya juga sebenarnya banyak bertanya, berbincang serta minta pandangan daripada pengarah, pelakon senior yang berpengalaman di set ‘shooting’ sama ada betul apa yang saya buat dan saya yakin sudah buat terbaik,” katanya.
Ditanya juga mengenai cabaran dirinya menjadi pelakon, Muaz berkata dia sebenarnya pernah terfikir mahu mengundur diri di awal pembabitan pada 2022 lalu kerana tidak tahan dengan tekanan dihadapi.
“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir langsung akan terbabit dalam karier seni sebagai pelakon. Bahkan, pada awal pembabitan dalam lakonan dulu, saya ada terfikir nak undur diri kerana tak tahan tekanan.
“Tapi, apabila mendapat pasukan produksi yang bagus, rakan pelakon yang banyak membantu, saya jadi seronok serta atas sebab itu, saya kuat semangat semula untuk teruskan dan berharap dapat peluang lagi dan lagi,” katanya.
Terdahulu, Muaz yang juga bekas pelatih kecergasan menceburi lakonan kira-kira dua tahun lalu selepas menyertai program pencarian bakat Fit For Action di TV3 pada 2022 yang menobatkannya muncul juara bagi peserta lelaki.
Antara drama lakonan Muaz sebagai watak pembantu sebelum ini ialah Bukan Hanya Sekadar Cinta, Sekali Lagi Cinta Kembali, Leha Leya Lawa dan Pemburu Rahsia di TV3. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO