Bermula dengan program realiti di platform media sosial berjudul Superlaki, bakat baru Aiman Coco terus melangkah ke hadapan menerusi bidang nyanyian yang diminatinya sejak kecil lagi.
Sangat meminati penyanyi dari negara jiran iaitu Charlie ST12, Aiman cuba mempertaruhkan lagu berentak balada dengan single pertama berjudul ‘Silam’.
Aiman atau nama sebenar Muhammad Nasrul Ali berasal dari Hulu Langat, Selangor mula berjinak-jinak dalam industri suara semenjak di bangku sekolah.
Bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian malah Aiman berkebolehan dalam bidang Qasidah dan seringkali mendapat gelaran juara dalam mana-mana pertandingan yang dimasukinya.
Biarpun mempunyai karakter pendiam, pemalu dan ringan tulang tetapi Aiman seorang yang sangat mesra dengan orang sekeliling.
Aiman pernah mempunyai single raya berjudul ‘Raya 4 Suara’ pada tahun lalu bersama tiga orang lagi rakan artis di bawah label muzik sama iaitu RR Entertainment.
Menerusi pembabitannya dalam lagu menyebabkan pihak RR Entertainment menawarkannya peluang menghasilkan lagu ‘Silam’.
“Apa yang saya impikan Allah makbulkan, terima kasih RR Entertainment dan Sony Music Malaysia kerana memberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan bakat saya dalam bidang nyanyian.
“Saya amat menghargainya dan akan cuba yang terbaik selagi boleh,” katanya dalam satu kenyataan media.
Aiman mengakui, dia sudah lama mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri.
“Saya sangat tidak sangka benda ini berlaku selepas sahaja menghasilkan lagu raya ‘Raya 4 Suara”.
”Mula-mula saya dengar single terbaharu ini memang saya jatuh cinta, jadi saya terus setuju untuk menyanyikan lagu ‘Silam’ dan ini merupakan peluang yang saya nanti-nantikan selama ini dan berharap akan dapat menyampaikan yang terbaik untuk pendengar-pendengar di luar sana supaya cerita di sebalik lagu ini dapat dirasai oleh pendengar,” katanya.
Jelasnya, proses menyiapkaan lagu ini agak mencabar.
“Rasanya tak perlu saya ceritakan, biar abang Herda dan Kak Reen dari RR Entertainment sahaja yang tahu apa yang berlaku.
“Saya harap sangat pendengar dapat terima lagu ‘Silam’ dengan baik dan dan teruskan menyokong indsutri seni sampai bila-bila,” katanya.
Lagu ‘Silam’ diterbitkan RR Entertainment ciptaan Herda Syira menemui pendengar pada awal tahun lalu. – BOOM!