Pelakon popular, Anna Jobling, 24, bangga apabila dia masih berpeluang secara langsung berkongsi idea dalam proses menghasillkan rekaan koleksi baju raya kucing 2024 ini.
Anna berkata, sebagai seorang pencinta kucing, sudah semestinya dia amat berbesar hati kerana diberikan kepercayaan bermakna sebegitu.
“Saya terbabit bukan saja di dalam proses rekaan, tetapi turut merangkumi pemilihan warna dan fabrik untuk koleksi baju raya bagi jenama pakaian kucing ini.
“Sebagaimana semua orang tahu saya sangat sayangkan kucing dan selalu inginkan yang terbaik untuk kucing-kucing saya. Jadi, saya sangat berbesar hati untuk terbabit sama dalam penghasilan koleksi baju raya kucing tahun ini.
“Ada lapan pilihan warna segar dan menarik bagi koleksi baju raya kucing kali ini. Malah, saya terbabit dalam rekaan baju Melayu, baju kurung dan kebaya yang dihasilkan khas untuk kucing,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Terdahulu, pelakon drama Melur Untuk Firdaus di TV3 itu hadir pada sidang media memperkenalkan koleksi baju raya kucing 2024 keluaran DD Cat di Coo & Riki di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota
Menurut Anna, dia juga teruja dapat berkongsi keistimewaan baju raya kucing rekaannya kepada anakanda Sultan Brunei iaitu Pengiran Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah ketika pertemuan mereka di Brunei, baru-baru ini.
“Rekaan baju raya kucing yang saya hasilkan ini turut menjadi pilihan Puteri Ameerah. Saya bersyukur dan gembira dengan penerimaan baik daripadanya itu,” katanya. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO