Pelakon Putra Amaris menyasarkan sumbangan van jenazah kepada sebuah masjid di Kedah menerusi program Infaq Sekampung pada 22 hingga 24 Mac ini.
Amaris, 39, berkata, dia berharap kempen Share Rezeki 2024: Putra Amaris x Tyzo yang dilancarkan minggu lalu dapat menampung dana bagi pembelian kenderaan itu.
“Insya-Allah, untuk program Share Rezeki 2024: Putra Amaris x Tyzo kali ini kita juga akan pergi ke Kedah dan Johor Bahru. Di Kedah, menerusi program Infaq Sekampung bersama penaja utama, kita nak menyerahkan sebuah van jenazah kepada sebuah masjid di sana.
“Jadi, sepanjang program Share Rezeki ini kita nak kumpulkan dana itu. Harapnya kita dapat mencapai sasaran itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pihaknya juga menyasarkan sumbangan kepada 1,000 keluarga asnaf di sekitar Kuala Lumpur.
Malah, tidak dilupakan bantuan kepada artis veteran yang kurang berkemampuan.
Pada masa sama untuk program tahun ini Amaris berhajat untuk berkongsi rezeki menerusi jualan beberapa aset milik ibunya, Allahyarham Hajar Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.
“Selepas berbincang dengan keluarga, mungkin akan ada beberapa aset peninggalan arwah ibu untuk kami cairkan dan digunakan untuk tujuan infaq.
“Semoga dengan perkongsian ini pahalanya akan terus mengalir buat arwah ibu saya,” katanya.
Tahun ini Amaris bekerjasama dengan penyampai radio Tyzo mencari lebih ramai golongan asnaf dan rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.
Bukan itu sahaja, Amaris turut mengajak mana-mana syarikat atau rakan artis yang berhajat melakukan ibadah infaq untuk sama-sama menghulurkan bantuan.
“Banyak syarikat dan ramai rakan artis yang mahu buat kebajikan, namun mungkin mereka tiada masa. Jadi menerusi program ini bantu mereka untuk mendekati golongan memerlukan.
“Tahun ini saya berharap program yang dilaksanakan tidak hanya tertumpu untuk bulan Ramadan sahaja. Kami mahu gerakkan program ini sepanjang tahun,” katanya. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO