Impian jadi kenyataan! Begitulah ungkapan sesuai diberikan kepada Alif Satar & The Locos yang akhirnya melancarkan album pertama mereka berjudul ‘Alif Satar & The Locos’ baru-baru ini.
Menarik lagi, album yang memuatkan tujuh buah lagu itu dilancarkan di atas kapal persiaran mewah.
Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Anugerah Terindah, Lelaki X Sempurna, Lelaki X Sempurna feat Diandra Arjunaidi, TOXIC, Isteri, Hey! dan Senyum.
Bukan itu sahaja, Alif Satar & The Locos merupakan artis tempatan pertama yang melancarkan album baharu di atas kapal pelayaran Genting Dream di Port Klang, Malaysia.
Malah, Alif Satar & The Locos juga dipilih untuk berkolaborasi dengan Resort World Cruises bagi memulakan kempen ‘Sayang Lokal’ yang bertujuan menyokong pelbagai inisiatif warga tempatan.
Tambah Alif yang juga mewakili Alif Satar & The Locos, mereka bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada kempen ‘Sayang Lokal’ ini dan impian mereka tercapai untuk membuat persembahan di atas kapal.
“Alif Satar & The Locos sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada kempen ‘Sayang Lokal’ Resorts World Cruises dan pada masa yang sama dapat melancarkan album kami dengan persembahan mini di atas kapal Genting Dream ini.
“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi kami kerana bukan setiap hari kami berpeluang melancarkan dan beraksi di atas kapal. Kami juga gembira kerana dapat mencipta pengalaman dan kenangan unik yang baru bagi kumpulan kami, tetamu, dan juga peminat yang hadir hari ini,” kata Alif Satar mewakili Alif Satar & The Locos.
Selain itu, ketika ditanya tentang nama kumpulan mereka, Alif berkata ia muncul ketika mereka sedang menonton filem animasi berjudul Coco.
“Nama The Locos tiada kena mengena dengan lokomotif ataupun keretapi. Nama ini tercetus ketika kami menonton sebuah filem animasi berjudul Coco dan kami menyukai lagu dalam filem tersebut yang bertajuk Un Poco Loco.
“Jadi, kami ambil keputusan untuk namakan The Locos yang membawa maksud ‘gila’,” kongsi Alif. – BOOM!