Bekas isteri kepada Datuk ND Lala, Fauziah Sarman akhirnya membuka mulut tentang wanita yang merampas suaminya.
Jika sebelum ini Fauziah hanya berdiam diri, namun hari ini semua spekulasi terjawab apabila ibu kepada penyanyi Shila Amzah itu mengakui bekas madu merupakan kawan baik kepada anak sulungnya.
Lebih mengejutkan apabila Fauziah mendedahkan, Shila tahu mengenai perkahwinan bapanya dengan wanita tersebut sejak 2019.
Malah, dia sendiri pernah bertemu wanita tersebut untuk bertanyakan tentang hal itu tetapi dinafikan.
“Tidak mudah bagi saya bila dapat tahu seorang perempuan seusia anak sulung saya – malah lebih tepat menjadi BFF anak saya dari tingkatan satu hingga lima di sekolah yang sama dikatakan sudah berkahwin sampai ke pengetahuan saya.
“Saya pernah berada di fasa penafian kerana perempuan ini sudah saya anggap seperti anak sendiri – makan minum dan tidur di rumah keluarga kami. Apa sahaja acara kecil atau besar yang kami adakan di mana-mana dia pasti ada.
“Saya masih ingat, pada 2019, anak sulung saya (Shila) memberitahu ada orang menyampaikan kepada dia yang Abahnya sudah bernikah dengan perempuan ini tapi saya sendiri di dalam hati mash menafikannya.
“Beberapa hari selepas dapat tahu, saya bertemu sendiri perempuan ini yang bekerja dengan abah anak-anak saya dan bertanya sendiri, jawapannya dia tidak akan melakukannya kerana dia menganggap kami suami isteri sebagai ‘orang tuanya’,” coret Fauziah.
Menerusi bingkisan panjang lebar Fauziah di Instagram itu, dia turut meluahkan rasa kecewa terhadap bekas suami yang hanya menurut kehendak wanita tersebut yang menuduh anaknya mencuri kereta.
Fauziah turut menitip pesanan kepada seluruh wanita diluar sana agar berwaspada dengan sesiapa sahaja walaupun individu tersebut sudah dianggap seperti anak, sahabat atau adik.
Pesan Fauziah, tidak salah bersangka baik, tetapi perlu ada batasannya supaya tidak ‘terkena’ di kemudian hari.
“Waspada dengan sesiapa yang mungkin kita anggap sebagai kakak, adik, anak atau sahabat.
“Janganlah memberi ruang yang terlalu luas hingga mata kita menjadi kabur melihat drama yang akan diciptakan manusia seperti ini.
“Menjadi baik dan bersangka positif itu jelaslah perlu dalam limit yang sangat kita jaga kerana tak semua manusia akan memikirkan lumat jiwa manusia lain, malah mereka tidak akan kisah mengisar halus emosi kita untuk meraih kemenangan dalam drama sebabak ini,” katanya.
Menerusi hantaran tersebut, Fauziah turut menyertakan tiga keping foto suaminya bersama Siti Munirah, wanita yang dimaksudkan menerusi posting terbabit.
Kontroversi rumah tangga Fauziah dan ND Lala timbul selepas dia mendedahkan wajah Siti Munirah dengan keterangan gambar ditulis ‘penyondol’ sambil mengesahkan wanita itu adalah isteri kedua suaminya (ketika itu).
Hantaran itu sekali gus mengesahkan spekulasi ND Lala bernikah seorang lagi. Sebelum ini, ND Lala dikaitkan dengan dakwaan berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya. Malah, Shila juga pernah memuat naik hantaran di Instagram sedang mencari Siti Munirah, berhubung spekulasi tersebut.
Fauziah kemudiannya mengesahkan diceraikan ND Lala menerusi aplikasi Whatsapp pada 2 Ogos lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1989 dan menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nurshahila atau Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. – BOOM!