Gitaris Hujan, AG Coco, dikhabarkan menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga dan kini sedang dirawat di sebuah hospital bagi menjalani rawatan memasukkan ‘stent’ iaitu alat melalui saluran kecil hingga pundi kencing.
Berita itu dimaklumkan isteri pemuzik itu, Zuliana Eusoff menerusi Instagram Stories (IGs), semalam.
Zuliana menerusi perkongsian memohon doa orang ramai supaya suaminya berada dalam keadaan stabil.
Wanita itu turut meluahkan kesedihan apabila tidak dapat berada di sisi suami saat melalui tempoh sukar memandangkan dia bersama anak tunggal, Hidayat Hezry kini berada di London, United Kingdom.
Sementara itu, pengurus kumpulan Hujan, Ariffin Ahmad berkata, AG memaklumkan sekiranya tiada sebarang komplikasi, dia mungkin dibenarkan keluar hospital, hari ini.
AG bersama Hujan dijangka terbang ke Kota Kinabalu (KK), Sabah bagi menjayakan Borneo Rock Fest yang bakal berlangsung di Stadium Likas pada 30 Disember ini.
“Setakat ini, saya dimaklumkan AG menjalani prosedur memasukkan stent kerana terdapat batu karang.
“Batu berkenaan agak besar jadi prosedur kecil perlu dilakukan.
“Mengenai masalah buah pinggang tahap tiga, saya masih belum berkesempatan berbual lanjut dengan AG mengenai perkara ini,” katanya.
Menurut Ariffin, AG sebelum ini ada mengadu sakit, bagaimanapun hanya mengetahui masalah dihadapi selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, baru-baru ini.
“AG ada maklumkan jika tiada apa-apa kemungkinan dibenarkan pulang kerana esok kami akan terbang ke Sabah untuk konsert.
“Kami tak nak paksa AG, dia kata okay. Tapi untuk soundcheck dan latihan, AG tak perlu ada kerana kami ada pasukan yang boleh menggantikannya.
“AG hanya akan muncul pada malam konsert jika keadaan mengizinkan. Jadi, kita sama-sama doakan semoga keadaan AG baik,” katanya.
Selain Hujan, Borneo Rock Fest akan turut digegarkan dengan persembahan Wings, Search, Butterfingers, A.C.A.B dan ramai lagi. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN