Penyanyi, Datuk Zainal Abidin kesal dengan sikap segelintir pelayar media sosial terutama pengikut dan peminat yang biadab ketika meninggalkan komen.
“Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh. Ramai antara mereka yang ‘post’ dulu baru fikir. Sepatutnya mereka fikir dulu baru ‘post’.
“Saya terima segala teguran atau kritikan kalau mereka menegur secara berhemah. Ini tidak, komen yang ditulis semuanya kurang ajar dan biadab seperti panggil saya dengan panggilan pakcik tua nak mampus serta kubur dah panggil,” katanya.
Zainal ditemui pada majlis pelancaran Konsert Zainal Abidin di Bangsar, pada petang Isnin.
Dalam pada itu Zainal menasihatkan golongan peminat untuk menjaga adab terutamanya dalam memberikan komen di media sosial.
“Bagi saya, janganlah guna bahasa sedemikian. Daripada saya terbuka hati nak terima nasihat, saya jadi makin benci.
“Kita orang Melayu dan beragama Islam sepatutnya kaya dengan adab dan adat. Walaupun anda ustaz sekali pun, kalau tiada adab yang baik tetap saya tak boleh terima,” katanya.
Terdahulu Zainal dikecam teruk oleh peminat fanatik kepada seorang penyanyi wanita selepas tindakannya menegur gaya fesyen artis itu yang disifatkan keterlaluan.
Dalam pada itu, Konsert Tiba Masa Zainal Abidin bakal berlangsung pada 30 September ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pelantun lagu Hijau itu dijangka akan membuat persembahan selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.
Judul Konsert Tiba Masa Zainal Abidin dipilih bersempena dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul Tiba Masa. – BOOM!