Selepas lebih setahun menyepi, Wani Kayrie kembali memeriahkan industri muzik dengan single terbarunya berjudul ‘Aiman Tino’. Lagu yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment ini mendapat sentuhan istimewa daripada komposer terkenal, Ezra Kong, dan sudah mula mencuri perhatian sejak sedutan satu minitnya dilancarkan di TikTok pada 27 September lalu.
Menurut Wani, ‘Aiman Tino’ menceritakan tentang seseorang yang menyimpan perasaan terhadap lelaki comel bergaya seperti Aiman Tino. Rentak catchy dan melodi yang mudah melekat menjadi keistimewaan lagu ini.
“Keistimewaan lagu ini terletak pada korusnya yang mudah diingati. Malah, saya berbincang dengan Ezra untuk menambah elemen kemelayuan di bahagian ‘bridge’ bagi memberikan identiti unik kepada lagu ini,” ujar Wani.
Wani percaya lagu ini mampu memberikan aura positif kepada pendengar kerana iramanya yang rancak dan menggembirakan.
“Saya harap lagu Aiman Tino dapat diterima semua lapisan umur, terutama mereka yang sedang memendam perasaan terhadap seseorang,” tambahnya.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, turut optimis terhadap potensi besar lagu ini.
“Lagu ini catchy, ada elemen antarabangsa tetapi tetap mengekalkan identiti tempatan. Wani pula seorang penyanyi versatil yang sesuai membawakan genre ini.”
Ezra Kong pula mendedahkan inspirasi di sebalik lagu ini datang daripada membayangkan karakter Aiman Tino sebagai lelaki kemas dan ceria.
“Gabungan elemen humor, flirtasi, dan emosi menjadikan lagu ini ringan tetapi bermakna,” katanya.
Single ‘Aiman Tino’ kini boleh didengarkan di semua platform digital sejak 1 November 2024. Lebih istimewa, lagu ini turut tersedia dalam format Dolby Atmos di Apple Music. Video muzik eksklusifnya pula telah dilancarkan di saluran YouTube Wani Kayrie TV pada 25 November 2024. – BOOM!