Ketika cubaan pertamanya menyertai Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018), Nizam Jentik-Jentik akui dia pernah berasa tidak puas hati dengan rakan seperjuangannya, Hilmy Ashley yang dipilih untuk mengisi slot peserta solo.
Berasakan dirinya lebih bagus, pemilik nama sebenar Nor Nizam Yusof itu beranggapan bahawa Hilmy tidak mempunyai kelayakan untuk memasuki pertandingan lawak popular tersebut.
“Pada masa itu saya sangat yakin yang sayalah akan dipilih untuk mengisi slot peserta solo MLM 2018 atas pencapaian dan kemampuan dalam komediri (stand up comedy).
“Malangnya nama saya tak terpilih dan peserta yang menjadi pilihan produksi ketika itu ialah Hilmy.
“Jujurnya saya cukup bengang sebab saya rasakan lebih hebat dan bagus berbandingnya.
“Disebabkan ketidakpuasan hati, saya mula memperkecilkan Hilmy dan mendoakan agar dia tersingkir awal,” dedahnya dalam pengakuan yang dikongsikan di laman Instagram.
Pendedahannya itu dilakukan kerana ingin berkongsi pengalaman kepada umum memandangkan kisah tersebut betul-betul memberi tamparan dan kesedaran dalam dirinya sebaik bergelar hos rancangan agama, Atlas Masjid Nusantara (AMN).
“Sewaktu penggambaran episod lima, seorang penjaga masjid di Singapura bertanya benarkah saya memendam rasa tidak berpuas hati.
“Mula-mula saya cuba mengelak, tetapi selepas didesak barulah saya akui dan bercerita tentang kekecewaan tidak bergelar peserta MLM.
“Sebaik dia mendengar alasan mengatakan saya lebih hebat daripada Hilmy, saya terus ditempelak dengan kenyataan tulus yang keluar dari mulut penjaga tersebut.
“Makhluk yang merasakan dirinya lebih hebat daripada orang lain cuma syaitan saja. Itu yang syaitan cakap apabila bertemy dengan Nabi Adam,” kata individu itu kepada Nizam, sekali gus menyedarkannya.
Tambah Nizam, atas rasa penyesalan, dia terus menghubungi Hilmy dan memohon maaf daripada pelawak yang juga personaliti Bernama TV itu. – BOOM!