Nama Jasmine Suraya dilihat semakin dikenali ramai sejak mula berkecimpung dalam bidang lakonan beberapa tahun lalu.
Wajah cantiknya sering menjadi pilihan penerbit bagi membintangi drama-drama tempatan terbitan mereka.
Antara lakonannya yang mendapat perhatian ialah Hero Seorang Cinderella, Adellea Sofea, Bidadari Salju dan banyak lagi.
Biarpun merupakan pelakon berbangsa Cina, namun Jasmine atau nama penuhnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 33, berkata, dia kerap mendapat peranan sebagai seorang wanita Muslim.
Menurut anak jati kelahiran Kuching, Sarawak itu, pembabitannya di pentas lakon tanah air telah meluaskan lagi pintu buat pelakon bukan Melayu untuk memeriahkan industri seni negara.
“Ramai pelakon bangsa lain nak berlakon sebenarnya, tetapi mereka ragu-ragu kerana penguasaan bahasa Melayu yang lemah,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia berasa kekok atau rimas apabila diminta untuk melakonkan watak perempuan Melayu, kata Jasmine, dia tiada masalah memenuhi tuntutan tersebut.
“Kita kena tengok jalan cerita itu dulu. Jika ia menuntut saya jadi begitu, jadi saya harus ikut kehendak skrip dan pengarah.
“Bagi saya, setiap kali mendapat watak sebegitu, ibarat satu pengalaman baharu.
“Malah saya gembira kerana menjadi pilihan melakonkan watak berkenaan memandangkan terdapat ramai pelakon Melayu lain.
“Itu adalah satu pencapaian yang harus saya banggakan dan sangat bersyukur,” ujarnya panjang lebar.
Jelas pelakon filem Paskal itu, dia cuba mendalami masyarakat Melayu kerana sebagai anak kelahiran Sarawak, budaya di negeri Bumi Kenyalang itu agak berbeza.
Dalam perkembangan lain, gadis genit itu bakal muncul dengan sebuah drama berjudul Vila Kristal untuk tayangan di platform penstriman digital, WeTV. – BOOM!