Si cilik, Ara Meraki boleh dikatakan masih hijau di pentas seni muzik dan lakonan tempatan. Bahkan bakatnya bukan saja pandai menyanyi tetapi turut berkebolehan menulis lirik.
Pada usia 11 tahun, Ara Meraki sudah pun mengeluarkan lagu ciptaan sendiri berjudul Save Me A Place yang dihasilkan bersama Jim Bimasakti Harris Yusoff.
Ceritanya, lagu berkenaan berkisar tentang perasaannya ketika berpindah dari sekolah lama ke sekolah baharu.
“Dek kesedihan yang terbit kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan, maka terhasillah lagu ini bagi mengimbau kenangan bersama mereka.
“Idea tercetus ketika berada di dalam kereta, sekadar suka-suka sebab teringatkan kawan-kawan lama. Lalu saya pun tulis sajalah memori yang terimbau.
“Menariknya ibu bapa tidak tahu pun saya boleh menulis lirik. Selepas saya baca dan rasa okey, baru bagi mama baca dan dia sendiri syorkan karya tersebut kepada produser muzik.
“Saya rasa gembira apabila mendapat tahu lagu sudah dikeluarkan sebab tak sangka akan miliki karya keluaran sendiri.
“Malah penerimaan pendengar pun agak memberangsangkan. Awalnya saya fikir ada ke orang nak dengar dan suka?” katanya yang mengidolakan penyanyi Ariana Grande.
Tambah Ara yang juga artis baharu naungan syarikat produksi MIG, ibu bapa amat menyokong minatnya asalkan mampu mengimbangi masa di antara bidang akademik dan seni.- BOOM!