Selepas hampir enam tahun, pelakon dan pelawak, Sulaiman Yassin atau Mat Over memohon maaf kepada David Teo atas tindakannya menampar penerbit filem itu pada Mei 2017.
Dalam kejadian itu, Sulaiman menampar David di acara sesi Dialog Transformasi Nasional TN50 di hadapan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, di Putrajaya.
Sulaiman ketika dihubungi berkata, dia hadir ke majlis berbuka puasa yang berlangsung dua hari lalu dan tidak menyangka akan bertemu David di situ.
“Malam tadi, saya hadiri majlis berbuka puasa di sebuah hotel yang membabitkan rakan-rakan artis.
“Jadi, apabila ternampak David, saya tergerak hati untuk terus bertemu dengannya dan meminta maaf.
“Dalam bulan yang mulia ini, apa salahnya kita bermaaf-maafan antara satu sama lain. Lagi pun, saya pernah melakukan kekasaran kepadanya,” katanya.
Selepas insiden itu, Sulaiman dan David tidak pernah bersua muka di mana-mana acara sehinggalah di majlis berbuka puasa terbabit.
Sulaiman juga turut memuat naik video dia bertemu dengan David dan saling memohon maaf antara satu sama lain.
Dalam video itu, David turut memaafkan Sulaiman.
Menceritakan kejadian itu, Sulaiman berkata, dia umpama hilang kewarasan ketika melakukan tindakan menampar David di acara membabitkan Perdana Menteri ketika itu.
“Mungkin ketika kejadian itu, saya hilang sekejap kewarasan di dalam pemikiran saya. Tak ada maknanya kita sesama manusia ini, berdendam walaupun kita berbeza agama. Pada hakikatnya, kita adalah hamba Allah,” katanya.
Ditanya mengenai pengajaran daripada insiden yang berlaku, Sulaiman tidak menafikan bahawa setiap individu pernah melakukan kesilapan dan tidak harus malu untuk mengaku sekali gus memohon maaf.
“Sebagai manusia, kita takkan lari daripada melakukan kesilapan. Kita kena akur bahawa kesilapan itu berpunca daripada diri kita. Cuma, janganlah malu untuk mengaku dan jangan malu untuk memohon maaf,” katanya.
Insiden itu bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Datuk Rosyam Nor selaku pengacara yang dikatakan tidak memberi laluan kepada mereka yang berada di tempat duduk belakang untuk bertanya soalan dan menyuarakan pendapat.
Sulaiman kemudian secara tiba-tiba meluru ke depan pentas bagi memberi amaran kepada David supaya tidak kurang ajar, sambil menampar muka penerbit itu. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO