Pelakon Chelsia Ng mengakui terpaksa bertutur dalam dialek Xinning antara cabaran buat dirinya dalam filem Geng Sakau VS Hantu Ting Tong.
Tambahan lagi menurut Chelsia, dialek Xinning semakin pupus kerana sangat jarang digunakan generasi masa kini.
“Dialek Xinning atau Taishan ini sudah makin pupus dan tidak lagi digunakan generasi baru. Kalau ada pun terlalu sedikit serta jarang didengar.
“Memang mencabar untuk saya walaupun dialek ini digunakan datuk moyang saya yang berasal dari Taishan, Guangdong.
“Saya terpaksa berlatih sehingga pagi untuk memastikan saya betul-betul menguasai dialek itu, jika tidak ia akan kedengaran janggal.
“Bayangkan, pukul satu pagi saya telefon ayah minta dia ‘check’ sebutan saya. Mujur ayah saya sudi bantu,” katanya ketawa.
Tambah Chelsia lagi, dia berterima kasih kepada pengarah Geng Sakau VS Hantu Ting Tong, Wan Hafiz, kerana memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan semula dialek Xinning.
“Terima kasih kepada tuan pengarah kerana membenarkan saya mengangkat semula warisan yang hampir pupus ini ke dalam filem Geng Sakau VS Hantu Ting Tong.
“Secara tidak langsung, generasi baharu tidak melupakan warisan bangsa kami dan mungkin ia akan menggalakkan mereka untuk belajar nanti, siapa tahu kan…
“Saya juga tidak menyangka Wan Hafiz akan bersetuju apabila saya cadangkan mengenainya. Beliau turut memberikan kebebasan kepada saya untuk berkarya di dalam filem ini,” katanya.
Selain Chelsia, filem komedi seram arahan Waan Hafiz ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Bell Ngasri, Shashic Lewan, James Arokisamy, Nabila Razali, Aziz M Osman dan Chew Kin Wah.
Filem ini juga merupakan kerjasama melalui KRU Studios dan Astro Shaw, selepas Cicakman 3.
Saksikan Geng Sakau vs Hantu Ting Tong mulai 5 Oktober di pawagam rumah anda iaitu Astro First (saluran 480). – BOOM!