Aktor drama Gerak Khas, Mas Khan semalam menerusi akaun media sosialnya telah memuat naik sebuah video menyaksikannya melatih seekor anjing.
Menceritakan secara ringkas pengalamannya bersama anjing yang diberi nama Cash itu, dapat dilihat dalam video tersebut Mas menyentuh dengan membelai haiwan peliharaan tersebut.
Gara-gara tindakannya sebagai seorang Muslim yang diharamkan menyentuh anjing secara sengaja, Mas tampil memberi alasan terhadap tindakan serta niatnya.
“Jangan risau, saya dan kita semua tahu kalau pegang anjing dalam keadaan basah, wajib disamak.
“Kami di sini (pusat latihan anjing) ada sabun khas digunakan bagi tujuan samak.
“Sama ada basah atau kering, setiap kali selepas menyentuh Cash, saya tetap akan samak seluruh anggota badan, termasuklah pakaian yang terkena anjing.
“Jadi tiada apa-apa isu yang timbul. Tetapi kalau ada juga yang nak kecam, lantaklah,” jelasnya memberi pencerahan awal dalam video berkenaan.
Pada masa sama, Mas atau nama penuhnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 28, turut meminta maaf andai ada pihak berasa tidak selesa atau tersinggung hati dengan tindakan serta percakapannya.
“Apapun, aku minta maaf terlebih dahulu jika ada menyinggung hati dan perasaan sesiapa melihat aku main dengan anjing.
“Aku bukannya tak tahu halal haram, tetapi cuma nak beritahu paling penting niat saya bela Cash ni sebab nak jaga keselamatan di sini.
“Kawasan ini berada di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, macam-macam boleh terjadi,” jelasnya.
Terdahulu Mas memaklumkan, Cash yang berbaka Gembala Jerman (German Shepherd) itu dibelinya daripada seorang pelatih anjing dan merupakan seekor haiwan terlatih yang bijak mematuhi arahan tuannya. – BOOM!