Cef selebriti, Naem Ramli akui pernah beberapa kali menerima tawaran berlakon daripada produksi, namun terpaksa menolaknya.
Menurut Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli, 29, dia terpaksa mengenepikan tawaran tersebut kerana belum sedia bergelar pelakon.
Optimis dengan kerjaya sebagai seorang cef profesional, Naem berkata, dia ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang kulinari terlebih dahulu selain sibuk dengan komitmen lain.
“Jujurnya dalam banyak-banyak tawaran, saya pernah juga ditawarkan watak hero, tetapi sekali pun tak pernah terima kerana bagi saya, kalau nak berlakon kita kena buat persediaan rapi seperti masuk kelas lakonan walaupun sudah mahir.
“Kita tahu kemampuan diri kita. Mungkin saya akan berlakon, cuma bukan sekarang meski diberikan watak sebagai cef.
“Buat masa ini, fokus saya adalah dalam bidang masakan,” katanya menetapkan pendirian.
Bagaimanapun, Naem meletakkan satu visi tersendiri dalam mengemudikan sesebuah program masakan.
Selaku juara Hero Oven musim pertama, dia ingin mengambil kesempatan tersebut untuk memperkenalkan dengan lebih mendalam masakan asli Melayu terutama kepada generasi muda.
“Tanggungjawab cef selebriti ini bukan setakat keluar televisyen, sebaliknya perlu main peranan tersendiri.
“Bukan untuk kejar populariti, tetapi kena jadi penyambung legasi memperkenalkan masakan tradisi Melayu secara meluas,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Naem telah dipilih sebagai wajah eksklusif kepada hotel terkemuka, Le Meridien Putrajaya bagi menyajikan resipi air tangannya buat para pengunjung sepanjang Ramadan kelak. – BOOM!