Sedar akan kelemahan dirinya dalam menguasai bahasa Inggeris, Hairul Azreen menjelaskan, dia perlu memperbaiki kekurangan dimiliki sebelum mengorak langkah bergelar bintang antarabangsa.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, Hairul atau Hairul Azreen Idris, 34, memberitahu, sejak setahun lalu, dia mula mempelajari bahasa perantaraan dunia itu secara formal.
“Bermula pada tahun lalu, saya ada mengambil seorang guru peribadi bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Ini adalah persediaan dan persiapan saya kalau ingin mengorak langkah di pentas antarabangsa.
“Insya-Allah, terdapat beberapa tawaran yang tidak rasmi dan belum boleh dikongsi,” dedahnya.
Menurut aktor filem Paskal berkenaan, keputusan mengupah guru terbabit adalah demi meningkatkan keyakinan dirinya ketika berkomunikasi dengan warga asing sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Setiap perkara yang kita lakukan, kena perbaiki segala aspek daripada kesilapan.
“Misalnya dalam filem-filem yang dilakonkan, saya sentiasa perkemaskan mutu lakonan agar bertambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Malah Hairul sewaktu lawatannya ke London, United Kingdom baru-baru ini mengakui, pengalaman bertemu kenalan di sana yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu diakui menjadi satu kekangan.
“Sebab itu saya tidak pernah berhenti mempelajari bahasa Inggeris, bahkan jika berkesempatan, saya juga mahu belajar bahasa lain,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Hairul sedang giat mempromosikan filem terbaharunya berjudul The Assistant arahan Adrian Teh yang bakal ditayangkan pada Mac depan. – BOOM!