Heboh kisah cinta janda sensasi bersama sang teruna yang sedang asyik menyulam cinta serta mencanang perancangan untuk berkahwin.
Percintaan antara Datuk Seri Dr. Vida dan bekas pembantu peribadinya, Iqbal Zulkefli hangat diperkatakan secara terbuka oleh kedua-dua pihak di media sosial.
Lebih panas, kisah berkenaan turut mendapat reaksi pelakon baharu yang juga anak kepada usahawan selebriti itu iaitu Cik B, 16, atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin.
Menerusi rancangan Melodi di TV3, Cik B membuat pengakuan bahawa dia tidak bersetuju dengan jejaka pilihan ibunya yang disifatkan terlalu muda.
“Deep down in my heart, saya kurang setuju. Yalah, mama umurnya dah tua, abang Iqbal pula baru umur 25.
“Macam mana dia boleh sukakan orang tua? Mesti ada sebab kan?
“Saya sangat tak setuju jika mama nak anak lagi. Cukuplah saya dan Kacak sahaja.
“Mama ni kalau bercinta, memang buta!” luahnya dalam temu bual tersebut.
Cik B juga akui, perbezaan usia menjadi faktor utama dia menentang hasrat ibunya, namun tidak kisah andai lelaki itu sebaya Vida, 50, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman.
Cik B juga mendedahkan, dia tidak sebulu dengan Iqbal, malah mereka sentiasa bergaduh.
“Bukan gaduh biasa-biasa tetapi luar biasa. Hubungan kami sangat renggang,” beritahunya.
Pada awalnya, dia menyangka kisah cinta mereka hanyalah sekadar strategi pemasaran, sebaliknya menjadi semakin serius.
“Ya Allah takutnya! Harap-harap memang marketing strategy. Saya pun tak nak ayah baharu. Cukuplah dah ada lima ayah.
“Kalau ditakdir memang jodoh mereka, saya doakan mama happy, ikutlah nak buat apa. Ikutkan, saya memang tak nak!” tegasnya lagi.
Sementara itu, para pengikut Cik B menerusi ruangan komen di media sosial berpesan supaya Vida dapat menilai niat seseorang yang cuba mendekatinya sama ada benar ikhlas atau tidak.