Aktres popular Nur Fazura Sharifuddin secara rasmi telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah Amin, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.
Sumber yang mengesahkan perkara itu menyatakan bahawa proses perceraian telah difailkan oleh peguam mewakili Fazura sebelum tengah hari, namun butiran lanjut mengenai punca perceraian masih belum didedahkan.
“Benar, Fazura sudah memfailkan perceraian pagi tadi. Dia tidak hadir ke mahkamah, urusan ini diselesaikan melalui peguamnya. Buat masa ini, punca perceraian tidak diumumkan,” kata sumber tersebut.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Fazura, 41, dan Fattah, 33, mula menjadi perbualan hangat di media sosial apabila mereka dilihat tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka pada hantaran masing-masing di Instagram.
Pasangan ini juga semakin jarang dilihat bersama di majlis-majlis awam dan tidak memuat naik gambar bersama.
Namun, pada Julai lalu, Fazura menafikan segala spekulasi mengenai hubungan mereka dan menegaskan bahawa rumah tangganya dengan Fattah masih dalam keadaan baik.
Sebagai info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun. – BOOM!
Sumber: Berita Harian