Industri hiburan antarabangsa kini hangat memperkatakan tentang penahanan penyanyi rap terkenal, P. Diddy, yang didakwa terlibat dalam jenayah seksual.
Walaupun tuduhan terhadapnya pernah timbul sebelum ini, namanya kembali menjadi perbualan hangat selepas dia ditahan pada 16 September lalu atas tuduhan serius termasuk pemerdagangan manusia, pelacuran, dan serangan seksual.
Penahanan ini mencetuskan spekulasi netizen bahawa Justin Bieber, yang pernah dianggap sebagai protege P. Diddy, mungkin turut terlibat dalam kes ini. Namun, bukan sebagai suspek, tetapi sebagai mangsa.
Kecurigaan mula tercetus apabila beberapa video lama mereka tersebar semula, menimbulkan kebimbangan ramai.
Salah satu video yang menarik perhatian adalah ketika Bieber, yang ketika itu masih remaja, dilihat menghabiskan 48 jam bersama P. Diddy.
Netizen mula meneliti ekspresi wajah Bieber, yang kelihatan tidak selesa dan takut.
Dalam satu klip video lain, Bieber kelihatan semakin resah apabila P. Diddy, atau nama sebenarnya Sean Love Combs, mengakui bahawa hubungan mereka tidak lagi serapat dulu.
Namun, sehingga kini, Justin Bieber belum memberikan sebarang komen mengenai penahanan bekas mentornya.
Menurut sumber rapat, Bieber dilaporkan berasa amat terganggu dengan perkembangan ini dan lebih memilih untuk berdiam diri.
“Dia tidak mahu bercakap langsung tentang Diddy. Ini benar-benar menghancurkannya,” kata seorang rakan terdekat.
Ada juga laporan yang menyatakan Bieber tidak akan bekerjasama dengan P. Diddy jika dia mengetahui lebih awal tentang tuduhan yang membelenggu rapper tersebut.
Dengan pendedahan kes ini, ramai yang bersimpati dengan Bieber, malah ada yang berpendapat lagu Bieber bertajuk “Lonely” seolah-olah mencerminkan perasaannya mengenai perkara ini. – BOOM!