Tiga beradik daripada kumpulan KRU, Dato’ Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim, dan Edry Abdul Halim, hari ini telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat apabila mereka memuat naik hantaran selfie serentak di Instagram masing-masing.
Menerusi ruangan komen, ramai peminat mula membuat pelbagai andaian dan menjangkakan bahawa sesuatu yang baru bakal muncul dari trio legenda ini.
Ada yang menyebut tentang kemungkinan lagu baru atau projek besar yang akan dilancarkan.
Tidak kurang juga yang berharap akan ada konsert reunion KRU setelah enam tahun kumpulan itu dibubarkan.
Seperti yang diketahui, kumpulan KRU yang popular sejak lebih dua dekad lalu telah mengumumkan pembubaran mereka selepas konsert terakhir, Konsert Gergasi KRU25 pada Mei 2018.
Pengumuman tersebut disambut penuh emosi oleh peminat, namun nama KRU tetap terpahat sebagai kumpulan ikonik yang telah mengubah industri muzik Malaysia.
Adakah ini petanda ‘comeback’ dari KRU, atau sekadar ‘teaser’?
Peminat setia kini hanya mampu menunggu dan berharap akan ada pengumuman rasmi mengenai apa yang bakal mereka jayakan kali ini.
Sebagai info, KRU bukan sahaja dikenali sebagai artis, tetapi juga penerbit, pengarah, dan pemilik syarikat hiburan yang berjaya, menjadikan apa sahaja projek terbaru mereka pasti dinanti-nantikan. – BOOM!