Pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha berpendapat jodoh dan ajal adalah ketentuan yang ditulis oleh Allah SWT dan sentimen warganegara tidak seharusnya dijadikan isu.
Tambah Hannah, soal keselamatan terutamanya tidak dapat diduga dan dielakkan biarpun pelbagai langkah pencegahan dibuat.
“Bila membabitkan keselamatan… sama juga seperti kita bercakap mengenai takdir. Semuanya tidak dapat diduga.
Sekarang ini, kalau saya naik kapal terbang ke, kalau memang ditakdirkan berlaku kemalangan ke, ia akan terjadi juga.
“Jadi, bukan disebabkan anda berada di Singapura atau di Malaysia ke, perkara itu melibatkan takdir… kita pun tak boleh buat apa,” kata Hannah ketika ditemui pada majlis makan malam dan perlantikannya sebagai duta bagi jenama produk Elegant di sebuah hotel baru-baru ini.
Tegas Hannah, dia bukanlah individu yang tepat untuk mengulas mengenai insiden membabitkan kes aktor Kamal Adli yang diserang individu tidak dikenali ketika berada di Singapura baru-baru ini.
“Bagi saya, itu perkara peribadi. Sebab saya pun tak tahu apa yang terjadi sebenarnya kerana saya sibuk dengan kerja.
“Jadi, saya nak bagi pendapat atau nasihat ke, kurang sesuai untuk mengulas dengan lebih lanjut,” kata Hannah secara ringkas.
Terdahulu, Uqasha Senrose memaklumkan mengenai suaminya, pelakon Kamal Adli mengalami kecederaan parah selepas diserang oleh individu tidak dikenali, di sebuah acara di Singapura.
Selain pasangan selebriti yang terbabit dengan insiden itu, pelakon Aaron Aziz juga memohon agar keselamatan warga negara Singapura yang bekerja di Malaysia tidak terjejas. – BOOM!