Pelakon kacukan Inggeris, Anna Jobling akui dia sering dikritik kerana tidak fasih berbahasa Melayu, lantas menjadikan karier lakonannya lebih mencabar.
Anna, 20 atau Anna Eliisa Gustin Jobling Abdul Razhman mendedahkan, dia juga melalui kepahitan dunia seni dengan hal-hal sinis tidak lagi janggal buat dirinya.
“Saya kerap menerima ejekkan kerana tidak petah bercakap dalam bahasa Melayu,” beritahu finalis Dewi Remaja 2018 yang bersekolah di sebuah institusi pendidikan antarabangsa itu.
Menurut Anna, percubaannya menyertai program realiti berkenaan tidak disangka kemudian menjadi sumber rezeki utamanya.
“Jujurnya, saya tak sangka bidang lakonan menjadi punca mata pencarian saya sebaik program tersebut tamat kira-kira tiga tahun lalu.
“Malangnya, di awal kemunculan, saya terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana skripnya berbahasa Melayu.
“Bukan tidak boleh langsung, cuma saya tidak yakin dan akan mengundang masalah kepada kru produksi kelak,” tambahnya yang pada ketika itu hanya menerima tawaran berlakon jika memerlukannya berdialog dalam bahasa Inggeris sahaja.
Pun begitu, baru-baru ini Ana dilihat tampil menerajui drama Shah Alam 40000 bergandingan dengan Datin Umie Aida dan Rita Rudaini.
Menjelaskan tentang pembabitannya dalam siri berkenaan, Anna berkata ketakutan telah mendorongnya untuk mencabar diri sendiri.
“Saya pernah terfikir, betul atau tak keputusan untuk bergelar pelakon. Jika ya, nak tak nak saya harus belajar memperkasakan bahasa Melayu.
“Jika saya terus berada dalam zon selesa, saya percaya tindakan itu akan membuatkan karier saya tidak berkembang,” ceritanya yang menyebabkannya menyahut cabaran menerima tawaran tersebut.
Pada masa sama, Anna tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila dapat bergandingan dengan Umie dan Rita yang menjadi idolanya selama ini.
“Biarpun saya masih terlalu mentah, kedua-duanya tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjayakan drama itu.
“Selepas drama ini, insya-Allah saya akan tampil menerusi sebuah drama yang bakal disiarkan di Astro Ria pula,” kata Anna.