Memiliki paras rupa yang kacak adalah tarikan utama buat bakat baharu, Syahmi Irfan dikenali dengan lebih pantas.
Namanya mula meniti di bibir peminat setelah debut Mungkir dijadikan runut bunyi (OST) bagi melatari dua drama popular iaitu Perempuan Tanpa Dosa dan Angkara yang bersiaran di Astro Prima.
“Sukar untuk saya mengulas tentang kelebihan wajah dimiliki. Semuanya soal rezeki.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah dikurniakan Allah ini,” katanya kepada Boom!.
Pemilik nama sebenar Muhammad Syahmi Irfan Mohd Nadzri, 20, itu juga mencuri tumpuan ramai apabila berkongsi videonya melaungkan azan serta mengaji al-Quran di laman media sosialnya.
Kongsi Syahmi, dia pernah terima undangan daripada seorang individu kehormat (VIP) bergelar Tan Sri untuk hadir ke rumahnya menjadi bilal pada Ramadan lalu sementelah tertarik dengan kemerduan suaranya.
“Apabila diundang, saya cuma hadir dan jalankan tanggungjawab. Syukur sebab sudah biasa lakukan sejak bangku sekolah menengah lagi.
“Saya cuba buat yang terbaik dan berasa gembira apabila mereka menyukainya,” ujarnya yang merupakan atlet remaja badminton kebangsaan itu.
Menyentuh cabaran memulakan kerjaya dalam musim pandemik, dia akui berdepan dengan pelbagai rintangan dan kekangan.
“Memang susah sebab tidak boleh keluar mempromosikan lagu kerana perlu mematuhi SOP yang telah disyaratkan.
“Bagi saya, penggunaan medium alternatif harus dimanfaatkan bagi memperkenalkan bakat yang ada kepada umum,” katanya.
Syahmi tidak nafikan, aplikasi seperti Tik Tok, Youtube, Instagram dan Facebook menjadi platform terbaik buatnya dalam usaha mengetengahkan kerjaya seni.