Perkongsian Faizal Tahir menerusi video dimuatnaiknya di laman Facebook miliknya baru-baru ini amat menyentuh hati ramai peminat.
Dalam video berkenaan, Faizal atau Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 44, dan isterinya mendedahkan bahawa mereka baru saja dikurniakan anak ketujuh yang dikategorikan sindrom down.
Memperkenalkan nama anak istimewa itu sebagai Maryam Tahirah Ahmad Faizal, pelaku seni itu berkata ia adalah gabungan nama isteri Nabi Muhammad dan arwah bapanya, Tahir.
“Maryam adalah anak kami yang Allah berikan keistimewaan kepadanya.
“Sewaktu dalam kandungan, doktor telah mengesan terdapat beberapa masalah komplikasi.
“Kemudian disahkan mempunyai Tetralogy of Fallot (TOF) apabila doktor mendapati campuran darah dan oksigen tak cantik,” ceritanya berterus-terang.
Mengakui sudah bersedia dari sudut mental dan fizikal, Faizal dan isteri juga bersiap siaga menangani permasalahan kewangan yang bakal dihadapi bagi menyambut kelahiran anak istimewa mereka.
Tambahan pula, beberapa bulan sejurus melakukan pemeriksaan sekali lagi ke atas kandungan, doktor mengesan terdapat masalah komplikasi jantung yang menjadikan bayi sindrom down.
“Alhamdulillah, itu yang Allah bagi. Saya terima anugerah ini dengan baik. Saya tak ada rasa down atau frust.
“Saya amat perlukan anak ini untuk jadi manusia lebih baik sebagai seorang hamba-Nya,” akuinya.
Justeru, di ruangan komen entrinya itu, para pengikut mula menghujani dengan ratusan kata-kata positif, di samping mendoakan agar Faizal sekeluarga tabah menghadapi ujian Allah. – BOOM!