Umum mengetahui pelawak dan penyampai radio Shuib, akan menamatkan zaman duda dengan tunangannya, Watie Hanifiah pada 23 Jun ini.
Selepas kematian isteri tercinta Siti Sarah, Shuib menerima banyak kecaman apatah lagi apabila dia mengumumkan bakal bernikah sekali lagi.
Bakal isterinya tidak terkecuali menjadi bahan kritikan, apabila dibandingkan dengan perwatakan Allahyarham Siti Sarah.
Biar hasrat mengikat perkahwinan dikatakan demi empat anak yatim yang perlukan kasih ibu, niat murni terus diperlekehkan.
Shuib yang sebelum ini pernah menyifatkan Watie mengingatkan dirinya kepada Siti Sarah sangat penyayang terutama dalam soal penjagaan anak-anak.
Pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad, 39, meminta orang ramai sedar realiti bahawa Watie adalah pilihan hatinya yang juga merupakan ibu ‘baharu’ kepada anak-anaknya yang sedang membesar.
“Sarah memang sudah berada di tempat paling istimewa bagi saya dan Watie juga sedia maklum perkara tersebut.
“Apa salah Watie? Dia ada dengan saya, anak-anak dan keluarga. Kadang-kadang perbandingan boleh menyakitkan orang.
“Perbandingan antara Watie dan Sarah tidak sepatutnya berlaku dan semua kena terima realitinya,” katanya.
Menghampiri detik perkahwinan, Shuib juga bertegas Watie dipilih sebagai suri hati kerana bukan dalam kalangan selebriti.
Tujuannya juga adalah mahu Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, memberikan sepenuh tumpuan buat keluarganya.
“Saya mahu dia fokus kepada keluarga dan anak-anak kerana itu memang motif utama.
“Disebabkan itu juga saya tidak berkawan rapat dengan selebriti sebelum ini kerana saya tahu sibuknya menjadi artis.
“Komitmen kerja sebagai artis yang menyebabkan saya rasa tidak perlu ambil risiko begitu,” ujarnya.
Biarpun menjadi perkahwinan kedua buat Shuib, dia mengambil pendekatan untuk meraikan ahli keluarga baharu dengan mengadakan acara pertunangan yang berlangsung pada 6 Mei lalu.
BACA: [V] Shuib Dan Watie Bertunang – “Doakan Moga Perjalanan Hubungan Kami Dimudahkan…”
“Ini memang perancangan saya kerana ingin menghargai semua orang yang datang dalam hidup.
“Lebih-lebih lagi kalau rasa dia perlu dihargai, mengapa tidak untuk saya buat sesuatu yang menggembirakan hatinya,” kata Shuib. – BOOM!
Sumber: KOSMO! ONLINE