Rocketfuel Entertainment maju selangkah lagi apabila memperkenalkan perkhidmatan terbaharu yang dinamakan Rocketfuel Indie Space Station (RISS).
Memberi fokus terhadap label serta artis indie yang bergiat aktif di seluruh negara, khidmat tersebut dijangka membuka peluang lebih luas kepada pemuzik bebas untuk masuk ke pasaran komersial.
Ketuanya, Feros Sayna menjelaskan, RISS berperanan selaku agensi pengurusan di bawah label Rocketfuel Records yang bergerak seiring bersama tiga komponen yakni Rocketfuel Talent, Rocketfuel Multi-channel Network serta Rocketfuel Live.
“RISS mempelawa semua penggiat muzik bebas yang memerlukan nasihat perunding terutama dari aspek pelancaran karya seni berlandaskan medium digital, TV dan radio.
“Lebih menarik, turut ditawarkan adalah pakej penyelenggaraan urusan penerbitan serta perlesenan,” kata Feros memetik siaran akhbar dikeluarkan organisasinya.
Bahkan menurutnya, aneka kejayaan diraih rangkaian jenama Rocketfuel Entertainment secara tidak langsung meletakkan syarikat mereka setaraf label-label unggul dan terkemuka Malaysia, malahan serantau Asia.
Di samping itu, Feros juga mengumumkan pelantikan vokalis kumpulan Pesawat iaitu Jipie bagi menjawat posisi Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment, selain bertanggungjawab mengendalikan RISS.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan diberikan ini memandangkan ia satu amanah besar untuk digalas.
“Perancangan terdekat, saya mahu naikkan nama syarikat menjadi badan pengurusan bakat paling berpengaruh dan disegani di rantau ini,” janji Jipie membentang manifestonya.