Pelakon Rita Rudaini menyuarakan pendapatnya mengenai cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memansuhkan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan. Menerusi hantaran di Instagram Story, Rita menegaskan seorang menteri perlu mendengar rintihan rakyat sebelum membuat perubahan drastik dalam dasar pendidikan.
“Setiap kali tukar menteri, dasar pendidikan pun berubah. Para pendidik belum sempat hadam sistem lama, kita ibu bapa pula yang tertekan. Cikgu-cikgu tak tahu lah rasa macam mana,” ujar Rita.
Menurutnya, pemansuhan peperiksaan seperti UPSR dan PMR sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa. Beliau juga berpendapat, silibus pembelajaran yang padat adalah penyebab utama tekanan, bukan peperiksaan itu sendiri.
“Ramai yang tak setuju sejak UPSR dan PMR dihapuskan. Silibus yang patut diringankan, bukan peperiksaan dimansuhkan. Hidup ini pun penuh tekanan dan ujian. Nak masuk universiti, tempat kerja, semua ada tekanan,” tambah ibu kepada dua cahaya mata itu.
Rita turut menekankan bahawa sistem pendidikan terdahulu telah melahirkan ramai individu berjaya, termasuk pemimpin negara. Baginya, tiada keperluan untuk mengubah sistem yang telah terbukti keberkesanannya.
“Silibus dulu dah cukup. Lahirkan ramai pelajar berjaya, malah ada yang jadi menteri,” katanya sambil menyindir perubahan dasar pendidikan yang dianggap tidak konsisten.
Sebagai info, peperiksaan UPSR dan PT3 telah dimansuhkan pada 2022 sebagai langkah pembaharuan sistem pendidikan negara. Namun, perubahan ini terus mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat.
Rita berharap pihak bertanggungjawab mempertimbangkan semula keputusan ini dan mendengar pandangan rakyat demi masa depan pendidikan yang lebih baik. – BOOM!