Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, berharap suaminya yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, akan melafazkan cerai, hari ini.
“Insya Allah, boleh selesai semua, doakan dan harapnya semoga kita berpisah”, katanya.
Sementara itu, peguam Syarie yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abd Kader berkata, kes perceraian pasangan itu dijangka selesai sekiranya pengarah filem Original Gangster itu melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah, hari ini.
“Hari ini adalah prosiding pengesahan dua lafaz cerai yang didakwa Puteri Sarah sebelum ini dan status permohonan cerai baharu.
“Insya Allah, besar kemungkinan kita akan selesai lafaz cerai, hari ini.
“Selagi dua perkara (pengesahan lafaz cerai) ada, mahkamah tidak akan teruskan dengan lafaz cerai baharu kerana ingin tahu berapa lafaz cerai pernah dilakukan,” katanya.
Tambah Akberdin, pengesahan lafaz cerai juga bergantung di tangan suami dan pihak mahkamah perlu mendengar hujahnya.
“Ada beberapa persetujuan yang sudah dicapai dan akan diusulkan kepada mahkamah.
“Semuanya bergantung di tangan suami jika bersetuju atau tidak. Kalau suami kata tidak pernah berlaku, hakim kena dengar perkara itu,” ujarnya lagi.
Pada 25 Mei lalu, JKP memaklumkan ikatan perkahwinan Puteri Sarah dan Syamsul tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 3. – BOOM!
Sumber: BHONLINE