Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai PU Azman, hari ini dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta satu sebatan, yang akan dijalankan secara berasingan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Azman, 43, menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Keputusan ini dibuat selepas Azman diperintah membela diri pada 26 Disember tahun lalu, apabila mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki itu di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, masing-masing pada pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man kini berdepan sembilan pertuduhan lain, termasuk lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam, serta masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Sumber: Harian Metro