Penyanyi Ricky Martin mengumumkan telah bercerai dengan pasangan jenisnya, Jwan Yosef.
Berita tersebut dikongsi Ricky menerusi hantaran di Instagram (IG)nya malam tadi, namun ruangan komen ditutup.
Dalam hantaran tersebut Ricky memberitahu dia dan Jwan berpisah secara baik demi maruah anak-anak.
“Sudah lama kami pertimbangkan untuk mengubah haluan hubungan kami dan selepas pertimbangan yang teliti, kami putuskan untuk menamatkan perkahwinan ini dengan penuh kasih sayang, rasa hormat dan maruah demi anak-anak.
“Kami akan tetap menjaga dan menghormati apa yang telah ditempuhi sebagai pasangan dalam beberapa tahun yang indah ini,” katanya.
Bagaimanapun kata Ricky, dia dan Jwan akan terus bersahabat serta tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
“Fokus kami sekarang adalah untuk terus bersahabat serta membina keluarga yang sihat dan akan menjaga anak-anak kami bersama,” katanya.
Pada Januari 2018, Martin, mengumumkan yang dia telah pun berkahwin dengan kekasih sesama jenisnya, Jwan Yosef yang berusia 34 tahun ketika itu.
Setahun selepas itu dia mengumumkan dirinya dan suami menyambut kedatangan Tahun Baharu 2019 dengan menimang cahaya mata bersama.
Bayi perempuan itu dinamakan sebagai Lucia Martin-Yosef.
Martin sebelum ini mempunyai anak kembar lelaki Valentino dan Matteo yang berusia 10 tahun. – BOOM!