Nama pelakon popular, Nur Fazura, sekali lagi menjadi tumpuan apabila posting terbarunya di Instagram, yang mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ogos, tidak memaparkan satu pun foto bersama suaminya, aktor Fattah Amin.
Menerusi perkongsian tersebut, Fazura berkongsi beberapa gambar yang menggambarkan kehidupannya sepanjang bulan Ogos.
Antara yang menarik perhatian adalah foto dirinya duduk di dalam kapal terbang sambil merenung ke luar tingkap, menjalani sesi penggambaran, serta menjalani rutin senaman.
Selain itu, terdapat juga gambar dan video Fazura memeluk dan mencium anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.
Namun, yang paling mencuri perhatian ialah sedutan persembahan Adele menyanyikan lagu ‘Love In The Dark’ yang dimuat naik oleh Fazura, serta babak dari filem ‘Crazy Rich Asians’ yang menunjukkan watak Astrid Leong (lakonan Gemma Chan) membuat keputusan untuk berpisah dengan suaminya, Michael Teo.
Penggunaan ikon daun luruh dan burung merpati putih di ruangan kapsyen Fazura turut mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat dan netizen, yang mula berteka-teki tentang maksud di sebalik simbol tersebut.
Ruangan komen Fazura dipenuhi dengan kebimbangan peminat, yang menganggap perkongsian itu sangat menyedihkan.
Ramai juga yang bertanya kepada Fazura sama ada dia berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Sebelum ini, khabar angin mengenai keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah Amin telah viral, berikutan mereka jarang berkongsi foto bersama di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Namun, Fazura dan Fattah telah menafikan dakwaan tersebut, menyatakan bahawa mereka sibuk dan memilih untuk menjalani kehidupan dengan lebih privasi. – BOOM!