Umum mengetahui bahawa penyanyi terkenal, Stacy Anam telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai konsert ‘A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku’, yang bakal berlangsung pada 30 November. Keputusan itu mencetuskan perhatian ramai selepas timbul isu mengenai poster konsert berkenaan.
Orange International Entertainment selaku penganjur tampil memberikan penjelasan, mengakui kesilapan mereka dalam menghasilkan poster tersebut. Pengarahnya, Datuk Mohd Fazli Idrus, menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk memperkecilkan mana-mana artis yang terlibat.
“Memang kesilapan itu datang daripada kami. Kami tidak pernah berniat untuk membandingkan atau mengabaikan mana-mana artis. Sebelum ini, kami pernah menggunakan konsep serupa pada poster tanpa isu apa-apa,” katanya.
Kesilapan teknikal pada poster tersebut, di mana gambar Stacy diletakkan di belakang artis lain, berlaku kerana kekangan masa. Stacy hanya memberi persetujuan untuk terlibat dua hari sebelum sidang media konsert.
“Sebenarnya, Stacy memang kami jadikan bintang utama pada poster asal. Namun, kerana bahagian kreatif terpaksa bekerja dalam masa yang singkat, gambarnya diletakkan di belakang. Kami belajar dari kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati pada masa depan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mohd Fazli juga menegaskan bahawa Bella Astillah tidak wajar dipersalahkan dalam isu ini, kerana keputusan sepenuhnya dibuat oleh pihak penganjur.
“Bella tidak masuk campur dalam hal ini. Dia hanya mengikuti keputusan kami tanpa mempengaruhi apa-apa,” jelasnya.
Terdahulu, Stacy melalui syarikat pengurusannya, Rythm & Rhyme, mengumumkan penarikan diri daripada konsert tersebut tanpa memberikan penjelasan terperinci, hanya menyebut masalah teknikal sebagai sebab utama.
Penganjur kini telah mengeluarkan poster baharu yang menampilkan semua artis secara sama rata tanpa gambar Stacy. -BOOM!
Sumber: Harian Metro