Syarikat perkhidmatan audio, The Wave in Sin City akan melelong mikrofon dilempar Cardi B dalam satu persembahan baru-baru ini.
Mereka yang juga pemilik mikrofon tersebut berkata, alatan tersebut masih berfungsi dengan baik.
Pemilik syarikat tersebut, Scott Fisher memberitahu bidaan dibuka menerusi laman atas talian eBay.
Bidaan bermula pada harga AS$500 (RM 2,280) meskipun harga asalnya ialah AS$1,000 (RM4,555).
Hasil jualan akan diserahkan kepada dua badan amal iaitu Wounded Warrior Project dan Friendship Circle Las Vegas.
Sebelum ini, video Cardi melemparkan mikrofon kepada penonton menjadi tular di media sosial.
Media turut melaporkan individu yang dibaling mikrofon, membuat laporan polis.
Difahamkan semasa konsert berlangsung, Cardi B meminta orang ramai menyiramnya dengan air kerana cuaca panas.
Bagaimanapun, gurauannya itu dianggap serius apabila seorang penonton membaling air ke arahnya.
Terkejut dengan aksi penonton itu, Cardi B dilihat spontan membaling mikrofon di tangannya itu. – BOOM!