Sempena musim cuti sekolah, pihak Les’ Copaque Production menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! yang bermula hari ini hingga esok di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, potongan harga tiket dibuat bagi menarik lebih ramai peminat watak animasi popular Upin & Ipin menonton teater berdurasi lebih satu jam itu.
“Kami memberikan diskaun yang banyak buat penonton tempatan. Sebenarnya penganjur teater ini bertaraf antarabangsa, namun saya tahu orang Malaysia kalau tiket mahal, mereka takkan pergi tengok.
“Melihat penjualan tiket yang agak perlahan, pihak kami meminta untuk penganjur mengurangkan harga tiket sehingga 50 peratus. Syukur penganjur mengizinkan, saya sedar kos penganjuran teater cukup tinggi.
“Jadi kami harapkan sokongan dari penonton tempatan, kerana ini adalah produk Malaysia dan kami mahu mempromosikan ia sehingga ke luar negara,” katanya.
Selepas Malaysia, Teater Muzikal Upin & Ipin akan dipersembahkan di Stadium Tertutup Singapura pada 18 Disember ini dan kemudian di Indonesia pada tahun depan.
Pementasan teater tersebut mengaplikasikan teknologi canggih terkini seperti teknik kesan khas cahaya serta pengunaan skrin LED bagi memberikan impak luar biasa.
Lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Gembira Bermain dan beberapa lagu baharu seperti Upin & |pin Berani dan Pin Pin Pom!.
Menariknya buat julung kali, pementasan itu menampilkan beberapa watak baharu ke pentas teater seperti Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.
Naskhah yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production dan diuruskan bersama oleh syarikat Star Fotress berkenaan akan dipentaskan menerusi beberapa slot waktu iaitu 11 pagi, 3 petang dan 8 malam.
Tiket berharga serendah RM69 boleh dibeli dengan melayari laman web https://my.trip.com/w/UpinIpin-2022. – BOOM!