Penyanyi remaja, Ismail Izzani tidak terkecuali berhadapan krisis ekonomi apabila mengakui bisnes restoran yang diusahakan bersama rakan-rakan turut terjejas.
Menurut Ismail, dua cawangan restoran di bawah jenama Redzcocina yang terletak di Kampung Baru dan Damansara Damai terpaksa ditutup buat sementara waktu gara-gara pandemik.
“Kebanyakan pekerja kami hanya bekerja secara separuh masa dan tidak kekal memberikan komitmen untuk jangka masa panjang.
“Disebabkan itu, staf silih berganti dan dalam sekarang ini agak susah untuk mencari pekerja baharu,” keluh Ismail, 21, atau nama penuhnya Ismail Izzani Zainal Nazeri.
Lantaran itu, dia mengambil keputusan menghentikan seketika operasi perniagaan sementara menunggu keadaan kembali pulih atau sedikit reda.
Sementara itu, mengulas status hubungannya dengan Shalma Eliana yang bakal melanjutkan pengajian di Australia, Ismail akui dia bersedia untuk menjayakan perhubungan jarak jauh.
“Saya mahu dia terbang tinggi demi masa depan yang lebih baik dan takkan menghalang impiannya.
“Sekurang-kurangnya dia dapat merasai pengalaman belajar di luar negara. Tak macam saya sebab bukan jenis yang suka study,” ulasnya.
Tambah pelantun lagu Contract itu, kekasih hatinya sepatutnya memulakan pengajian pada Julai lalu tetapi ditangguh ke Januari depan akibat Covid-19.